Khamis, 16 Julai 2009

Epilepsi (2)


Jenis-jenis epilepsi
Epilepsi terbahagi kepada dua iaitu:
1. General epilepsi. Epilepsi ini sering berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. Puncanya tidak diketahui tetapi ia dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik.
2. Partial epilepsi. Bagi jenis ini, sesetengahnya boleh diketahui puncanya manakala sebahagian lagi tidak diketahui puncanya.
Partial epilepsi berlaku akibat seseorang individu terbabit dengan kemalangan yang menjejaskan bahagian otaknya. Selain itu, jangkitan kuman pada otak juga menjejaskan bahagian tertentu otak. Menurut Dr. Azmi, tubuh manusia dilengkapi dengan mekanisme yang menseimbangkan fungsinya. Sebagai contoh, jika berlaku kerosakan pada salah satu bahagian otak, ia boleh menjejaskan keseimbangan neurotransmitter di otak.Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan berlakunya cetusan elektrik secara berlebihan.Tambahnya, temporal lobe epilepsi merupakan partial epilepsi yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki dan wanita dewasa. Biasanya serangan epilepsi jenis ini agak menakutkan orang di sekeliling. Bagaimanapun, ia tidak mencederakan orang lain.

Lebih penting lagi, kata Dr. Azmi, epilepsi tidak mempunyai kaitan dengan penyakit mental seperti yang difahami oleh ramai orang.``Mekanisme serangan epilepsi ini jauh bezanya dengan penyakit mental kerana selepas serangan berlaku, pesakit akan rasa keliru dan mungkin menjadi lebih agresif tetapi untuk seketika sahaja. Selepas itu pesakit akan pulih seperti biasa,'' ujarnya.
Sehubungan itu, Dr. Azmi menasihatkan orang ramai supaya tidak berasa takut atau memulau penghidap epilepsi. Jika serangan sawan tidak berlaku, mereka adalah seperti manusia biasa yang sihat. Stigma yang begitu menebal dalam pemikiran sebahagian besar masyarakat menyebabkan penghidap epilepsi sering berada dalam dilema.``Dilema ini termasuk mencari kawan, pekerjaan atau pasangan hidup dan berkeluarga. ``Antara dilema yang selalu berlaku ialah mereka mengalami kesukaran memohon pekerjaan yang sesuai,'' katanya. Tambah beliau, masalah pengangguran, mendapat pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan yang dimiliki dan diskriminasi adalah antara prejudis masyarakat terhadap mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan