Khamis, 16 Julai 2009

Epelipsi (1)

MENGENAL EPILEPSI
( Bahagian 1)

PESAKIT epilepsi atau sawan seperti yang difahami oleh kebanyakan kita ialah individu yang mengalami kekejangan, terbaring dalam keadaan tidak sedar sambil mulutnya mengeluarkan buih. Persepsi seperti itu sedikit sebanyak menyebabkan epilepsi dianggap sebagai penyakit yang menakutkan. Ini sekali gus menyebabkan ia turut tersenarai sebagai salah satu penyakit yang mempunyai stigma tersendiri.
Pakar Perunding Neurologi, Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Azmi Abd. Rashid berkata, kurangnya kefahaman masyarakat berhubung epilepsi menyebabkan masalah kesihatan ini dilabelkan dengan pelbagai tanggapan negatif. Menurut beliau, tidak kurang orang yang beranggapan epilepsi sebagai penyakit mental, manakala sebahagian yang lain merasakan ia adalah penyakit buatan orang, makhluk halus, akibat sihir dan sebagainya.Kadangkala kita sampai ke peringkat orang menjauhkan diri apabila mengetahui ada di kalangan individu berhampiran mereka menghidap epilepsi. ``Hakikatnya, epilepsi tidaklah seteruk seperti yang kita fikirkan selama ini,'' kata Dr. Azmi.



Epilepsi merupakan satu keadaan di mana berlakunya gangguan pada fungsi otak yang disebabkan oleh ledakan atau cetusan elektrik yang tidak terkawal. Gangguan ini mengakibatkan seseorang pesakit mendapat serangan secara tiba-tiba dan berulang-ulang. Bagaimanapun, kata Dr. Azmi, ada juga pesakit yang mendapat serangan epilepsi hanya sekali seumur hidup mereka. ``Serangan itu tidak diklasifikasikan sebagai epilepsi, sebaliknya ia berlaku akibat kekurangan gula dan kalsium dalam darah atau akibat kecederaan pada kepala,'' jelasnya. Serangan epilepsi
Dr. Azmi memberitahu, ramai beranggapan epilepsi sebagai sejenis penyakit yang mengakibatkan penghidapnya tidak sedarkan diri ketika berlaku serangan.Katanya, serangan epilepsi juga boleh berlaku ketika seseorang itu dalam keadaan sedar tanpa si empunya diri menyedarinya. ``Bentuk serangan epilepsi ini bergantung kepada lokasi di mana berlakunya gangguan tersebut. ``Jika gangguan tersebut terjadi pada bahagian yang mengawal pergerakan tangan, maka bahagian tersebutlah yang akan terjejas,'' ujarnya. Jika bahagian tersebut yang mengawal deria rasa, pesakit mungkin mengalami kebas secara tiba-tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan