Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas dibina
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berlandaskan
prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara
menyeluruh, peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid
dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi kurikulum
bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah
pembelajaran.
Murid
Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas
(Masalah Penglihatan) secara umumnya menggunakan kurikulum aliran
perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan
terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi
pendekatan pengajaran dan pembelajaran) selaras dengan keperluan khas
pembelajaran. Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid
Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) masing-masing turut diwajibkan
mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi
(BIK) dan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL).
Kurikulum
Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina berdasarkan tahap
keupayaan dan keperluan murid. Kurikulum bagi kumpulan murid ini lebih
berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi memenuhi keperluan individu,
dan tidak terlalu menekankan akademik. Di Tahap I, murid Pendidikan Khas
(Masalah Pembelajaran) disediakan mata pelajaranAsas 3M, Pengurusan
Kehidupan, Seni Kreatif, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan
Pendidikan Jasmani. Sementara itu di Tahap II, disediakan mata pelajaran
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Sains, Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup Asas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Pengurusan Kehidupan.
Program
pengajaran dan pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori ini juga dibentuk
secara fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Pendidikan Khas) 1997.